Sebanyak 6,000 entri baharu ditambah dalam Kamus Cambridge sepanjang tahun lalu, termasuk skibidi, delulu dan tradwife. – Gambar Hiasan
LONDON: Perkataan popular dalam kalangan Generasi Z dan Alpha seperti ‘skibidi’, ‘delulu’ dan ‘tradwife’ kini dimasukkan ke dalam Kamus Cambridge edisi dalam talian.
Menurut Utusan Malaysia, Cambridge University Press memaklumkan, sebanyak 6,000 entri baharu ditambah sepanjang tahun lalu, termasuk tradwife, gabungan perkataan isteri tradisional, mencerminkan trend kontroversi di Instagram dan TikTok yang merangkumi peranan jantina tradisional.
Kamus itu turut mentakrifkan skibidi, istilah dipopularkan melalui meme dalam talian, sebagai perkataan dengan pelbagai maksud seperti keren atau buruk, atau boleh digunakan tanpa makna tertentu.
Perkataan karut itu tular melalui saluran YouTube Skibidi Toilet dan dikaitkan dengan kandungan kosong atau tidak masuk akal di media sosial, yang menjadi sebahagian daripada gaya hidup Gen Alpha.
Sementara itu, delulu yang berasal daripada perkataan delusional, didefinisikan sebagai ‘mempercayai perkara tidak benar atau nyata, biasanya kerana memilih untuk berbuat demikian.
Antara rujukan penggunaan ialah ucapan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese pada 2025 yang menyebut frasa ‘delulu with no solulu’.
“Bukan setiap hari anda dapat lihat perkataan seperti skibidi dan delulu masuk ke dalam Kamus Cambridge.
“Kami hanya menambah perkataan yang diyakini mampu bertahan lama. Budaya internet sedang mengubah bahasa Inggeris dan kesannya sangat menarik untuk diperhati serta direkodkan dalam kamus,” kata Pengurus Program Leksikal Kamus Cambridge, Colin Mclntosh.
Antara frasa baharu lain termasuk ‘lewk’, digunakan untuk menggambarkan gaya fesyen unik dan dipopularkan dalam oleh rancangan RuPaul’s Drag Race, serta inspo, singkatan bagi inspirasi.
Turut tersenarai ialah ‘forever chemical’, iaitu bahan kimia buatan manusia yang kekal lama di alam sekitar dan semakin diberi perhatian kerana kembimbangan kepada kesan tidak dapat pulih akibat perubahan iklim terhadap kesihatan manusia serta tumbuhan.


































