PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki tempatan semalam selepas memuat naik hantaran video mengenai pendedahan penemuan bukti bedah siasat Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menurut Utusan Malaysia, penahanan lelaki berusia 51 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 10.20 malam bagi membantu siasatan penularan video yang mengandungi audio perbualan penemuan hasil bedah siasat Zara Qairina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, video berkenaan dikesan telah ditularkan oleh akaun tiktok @berjuanguntukzara dan boleh diakses di pautan url https://vt.tiktok.com/zshskbtdvepp6-wfdnd/.
Katanya, semakan awal polis mendapati hantaran video berdurasi dua minit enam saat tersebut mengandungi kenyataan yang tidak benar berhubung siasatan kes Zara Qairina kerana menyifatkan kematian pelajar berkenaan sebagai pembunuhan terancang.
“Susulan penahan itu, kita (polis) turut merampas satu unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, permohonan reman telah dibuat dan dibenarkan pada hari ini hingga 21 ogos ini.
“Siasatan berhubung penularan tersebut dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman sejurus laporan polis diterima,” jelasnya.
Kata beliau, siasatan dilakukan di bawah peruntukan kesalahan-kesalahan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” ujarnya.
Katanya, PDRM memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi diambil terhadap mana-mana pihak dengan sengaja menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam atau menganggu prosiding mahkamah.
“Masyarakat juga diingatkan agar tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang diakses di media sosial tanpa menentusahkan kesahihannya terlebih dahulu terutama berkaitan isu keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara.
“PDRM menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional serta mengelakkan daripada membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.




























