Komuniti MADANI Kg. Kibbas merakamkan gambar kenangan bersama-sama dengan peserta konvoi.
RANAU: Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Sabah 2025 mengakhiri perjalanan ke daerah Ranau dengan singgah di Komuniti MADANI Kampung Kibbas pada lewat petang Isnin.
Kehadiran konvoi berkenaan disambut meriah dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan sempena sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia.
Pengerusi Komuniti MADANI Kg Kibbas, Jorius Aban berkata, penganjuran ini julung kali diadakan di kampung tersebut dan disambut baik oleh masyarakat setempat.
“Ini pertama kali dibuat, sebelum ini tidak pernah dibuat. Memang baguslah untuk Kibbas,” katanya ketika ditemui media.
Beliau berkata, sempena sambutan itu komuniti turut mengadakan aktiviti mendaki bukit, gotong-royong dan sukan rakyat bagi memeriahkan suasana.
“Kami juga bersyukur kerana sentiasa mendapat kerjasama yang baik dengan Jabatan Penerangan Sabah,” tambahnya.
Turut diadakan ialah penyampaian sumbangan bakul makanan daripada Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah kepada golongan memerlukan di kampung tersebut yang disampaikan oleh Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor.






























