Lim Hui Ying – Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menjadualkan semula pelaksanaan fasa e-Invois bagi memberi ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membuat persediaan secukupnya.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, fasa keempat pelaksanaan e-Invois akan bermula pada 1 Januari 2026 membabitkan perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM1 juta sehingga RM5 juta, manakala fasa kelima akan dilaksanakan pada 1 Julai 2026 melibatkan jualan tahunan RM500,000 hingga RM1 juta.
Katanya, kerajaan turut menaikkan nilai ambang pengecualian e-Invois daripada RM150,000 kepada RM500,000 bagi mengelakkan bebanan kos kewangan dan teknikal kepada peniaga kecil.
“Langkah ini menunjukkan kerajaan peka terhadap cabaran dihadapi PMKS yang memerlukan lebih banyak masa untuk memahami piawaian perakaunan, dokumentasi perniagaan, pengurusan sumber manusia serta ketersediaan sistem.
“Walaupun terdapat pengecualian, kerajaan tetap menggalakkan penglibatan peniaga kecil dalam inisiatif e-Invois selaras dengan aspirasi pendigitalan perniagaan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai status pelaksanaan e-Invois sehingga ia dilaksanakan sepenuhnya dan unjuran peningkatan perolehan kerajaan melalui inisiatif tersebut.
Dalam pada itu, Lim berkata sebanyak 475 juta e-Invois telah dikeluarkan oleh 98,813 pembayar cukai sehingga 18 Ogos lalu, termasuk 37,000 pembayar cukai daripada fasa keempat dan kelima yang menyertainya secara sukarela.
“Dengan penglibatan daripada pembayar cukai ini, ia jelas menunjukkan tahap penerimaan yang baik oleh pembayar cukai dalam mematuhi pelaksanaan e-Invois.
“Namun, pelaksanaan e-Invois pada masa ini masih lagi peringkat awal dan unjuran penambahan hasil hanya dapat ditentukan selepas pelaksanaan mandatori sepenuhnya pada 1 Julai 2026,” katanya.






























