Rahmad Mariman
MELAKA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung insiden buli di sebuah sekolah menengah di Sungai Udang di sini, meskipun pihak sekolah telah menjalankan siasatan dalaman.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, insiden itu berlaku pada 16 Ogos lalu melibatkan murid-murid di asrama sekolah menengah berkenaan.
Katanya, kejadian dikaitkan dengan interaksi tidak wajar antara murid senior dan murid junior apabila terdapat murid yang mengambil tindakan hukuman sendiri terhadap rakan mereka.
“Saya memandang serius perkara ini kerana ia menyentuh aspek keselamatan, kebajikan serta hak murid untuk berada dalam suasana pembelajaran yang selamat, beretika dan kondusif.
“JPN Melaka turut menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dalam isu ini dan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil. Saya menegaskan bahawa tiada toleransi terhadap sebarang bentuk salah laku murid, khususnya salah laku buli,” katanya.
Rahmad mengulas mengenai kes lebih 20 pelajar perempuan menjadi mangsa buli pelajar senior di asrama sehingga mengalami bengkak dan melecet di bahagian kaki, Sabtu lalu.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 3 pagi selepas semua mereka diminta untuk berkumpul di koridor oleh pelajar senior selepas didapati pulang lewat ke asrama.
Mereka dikatakan dihukum dengan melakukan ‘jalan itik’ selama 30 minit manakala beberapa pelajar lain dikenakan ketuk ketampi.






























