Azalina Othman Said
PETALING JAYA: Identiti lima remaja yang terlibat dalam kes buli Zara Qairina Mahathir yang bakal didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu, Sabah esok tetap akan dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, meskipun perbuatan buli sama ada di sekolah mahupun secara dalam talian perlu ditangani secara tegas tanpa kompromi, mereka yang terlibat itu tetap dianggap sebagai kanak-kanak.
“Perlindungan itu termasuk daripada segi kerahsiaan, hak mendapatkan representasi guaman serta layanan yang adil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa orang ramai agar tidak mendedahkan identiti lima remaja yang bakal didakwa bagi mengelakkan stigma berterusan terhadap mereka.
Suhakam dalam kenyataan berkata, remaja terbabit berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-kanak 2001 termasuk sokongan berasaskan trauma, khidmat guaman serta layanan adil sepanjang prosiding.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, seramai lima remaja terlibat dalam kes buli Zara Qairina akan didakwa esok.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, kesemua remaja itu berusia di bawah 18 tahun dan akan didakwa mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan.
Azalina berkata, kerajaan komited membanteras perbuatan buli melalui pelaksanaan pelbagai instrumen perundangan.
Katanya, ia termasuk Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, pindaan Kanun Keseksaan, pengukuhan undang-undang perlindungan kanak-kanak menerusi Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (SOAC) 2017–2023, Rang Undang-undang (RUU) Kanak-kanak (Pindaan) 2023 serta pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam.
“Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM juga sedang meneliti cadangan penubuhan tribunal anti-buli siber dan pelantikan Pesuruhjaya e-Keselamatan.
“Langkah ini bertujuan menyediakan penyelesaian pantas kepada mangsa, pemulihan kepada pelaku serta pendidikan keselamatan digital khususnya kepada kanak-kanak,” katanya.






























