Keadaan sebahagian daripada kenderaan yang rosak selepas dirempuh kren yang mengalami kerosakan brek di persimpangan lampu isyarat Jalan Kebun Teh, Johor Bahru kelmarin.
JOHOR BAHRU: Sebuah lori kren yang mengalami masalah sistem brek terlibat dalam kemalangan membabitkan 10 kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat berhampiran Jalan Kebun Teh, di sini pagi semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Indra Sahreil A. Bakar berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9.16 pagi itu turut mengakibatkan empat penunggang motosikal cedera.
Beliau berkata, seramai 13 anggota bersama lima jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah lori kren merempuh enam kereta dan empat motosikal. Pemandu lori kren serta semua pemandu kereta tidak cedera, namun empat penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan sebelum diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.
Tambahnya, kesemua individu terlibat berusia antara 28 hingga 66 tahun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati lori kren dipandu lelaki berusia 49 tahun itu gagal dikawal setelah sistem brek tidak berfungsi ketika mahu berhenti di lampu isyarat.
“Susulan itu, lori terbabit merempuh beberapa kenderaan lain yang sedang berhenti di persimpangan berkenaan.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kemalangan,” katanya.




























