WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) membatalkan lebih 6,000 visa pelajar sejak Senator Marco Rubio dilantik sebagai Setiausaha Negara tujuh bulan lalu, dalam langkah tegas menyekat pelajar asing yang didakwa melanggar undang-undang dan ‘mengancam kepentingan dasar luar AS’.
Menurut Utusan Malaysia, seorang pegawai Jabatan Negara memaklumkan sebahagian besar pembatalan visa itu melibatkan pelanggaran undang-undang seperti tinggal melebihi tempoh sah visa, kesalahan jenayah seperti serangan fizikal, kecurian, dan memandu dalam keadaan mabuk (DUI).
“Daripada jumlah itu, kira-kira 4,000 visa dibatalkan kerana pelanggaran undang-undang semata-mata,” kata pegawai itu.
Namun, tiada pecahan kewarganegaraan dinyatakan secara rasmi.
Langkah ini sebagai sebahagian daripada pendekatan keras Rubio yang mahu “menyaring lebih agresif” pelajar dari negara tertentu terutama China dengan alasan keselamatan negara.
Pada Mac lalu, Rubio turut menyatakan komitmen untuk membatalkan visa pelajar yang terlibat dalam protes anti-Israel, termasuk mereka yang bersuara secara terbuka dalam kampus.
“Kami akan tarik balik visa setiap hari jika perlu. Tiada kompromi terhadap mereka yang mengancam rakan sekutu strategik kami,” tegas Rubio.
Bagaimanapun, usaha keras pentadbiran ini menghadapi halangan apabila mahkamah membebaskan dua individu dalam kes berprofil tinggi:
Mahmoud Khalil, pemastautin tetap sah AS dan pemimpin protes pro-Palestin di Universiti Columbia, dibebaskan oleh hakim pada Jun.
Rumeysa Ozturk, pelajar siswazah dari Turkiye di Universiti Tufts, turut dibebaskan pada Mei walaupun menulis artikel mengkritik Israel dalam akhbar kampus.
Kedua-dua kes mencetuskan perdebatan hangat mengenai kebebasan bersuara dan hak pelajar antarabangsa di AS.
Mengulas keputusan mahkamah, Rubio mempertahankan tindakan Jabatan Negara dengan menegaskan bahawa visa adalah hak yang boleh ditarik balik, bukan jaminan kekal.
“Pelajar asing tidak menikmati hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan AS. Kita berhak menolak sesiapa yang mengancam dasar luar dan keselamatan negara,” katanya.




























