Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Bomba dan Penyelamat membuat pemeriksaan ke atas ‘kapal hantu’ di Pangkalan Bekalan Kemaman, di Kemaman, Terengganu,.
KEMAMAN : Pemeriksaan ke atas ‘kapal hantu’ yang hanyut di kawasan Pelantar Semangkok A, Perairan Terengganu di sini, tidak menemukan sebarang bahan kimia berbahaya dan mangsa di dalam kapal itu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, 17 anggota dari Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Bomba dan Penyelamat dan tiga pegawai Jabatan Laut Malaysia masuk ke kapal tiga tingkat itu kira-kira pukul 3.30 petang ini.
“Pada peringkat awal pemeriksaan, terdapat bau di dalam kapal itu namun selepas pemeriksaan dibuat, bau itu adalah bau bahan mentah yang rosak dari peti sejuk.
“Pasukan Hazmat menggunakan dua alat pengesanan berteknologi tinggi iaitu four gas meter dan gasmet. Hasil pemeriksaan di seluruh kapal itu berada dalam keadaan normal dan tiada bahan kimia berbahaya ditemukan,” katanya di Zon Maritim Kemaman, petang tadi.
Abdul Halim berkata, pemeriksaan selama satu jam di atas kapal berukuran 53.7 meter panjang dan 10 meter lebar itu juga tidak menemukan sebarang mangsa.
“Tiada kru yang dikesan berada atas kapal dan ia diserahkan kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan lanjut. Kita sentiasa melakukan rondaan untuk memastikan kapal itu tidak diceroboh oleh mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan ‘kapal hantu’ yang dikesan hanyut di kawasan Pelantar Semangkok A, di Perairan Terengganu pada Selasa, telah tiba di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), di sini, selepas ditunda lebih dua hari, sejauh 140 batu nautika.




























