PETALING JAYA : Sepuluh termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua wartawan yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai telah membocorkan maklumat operasi ketenteraan bagi memastikan aktiviti penyeludupan di selatan tanah air dijalankan tanpa gangguan penguat kuasa.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, terdapat penglibatan empat syarikat dalam aktiviti penyeludupan barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dengan kesemua yang ditahan.
Katanya, jumlah sindiket yang terlibat bagaimanapun masih dalam siasatan lanjut.
“Sindiket disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan di dalam negara tetapi tidak menolak kemungkinan terdapat juga rangkaian di luar negara.
“Siasatan kini memfokuskan kepada suspek-suspek yang dikatakan menerima rasuah daripada penyeludup-penyeludup sebagai balasan membocorkan maklumat operasi tentera di sempadan perairan negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Azam berkata, dua premis salah seorang suspek telah digeledah pada 14 Ogos lalu sebelum menemukan sejumlah wang tunai bernilai RM120,190.
Jelas Azam, jumlah terkini sitaan wang tunai keseluruhan adalah sebanyak RM183,390.
“Rampasan membabitkan senjata api tiruan, dadah telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk telefon bimbit mereka.
“Terdapat juga akaun bank milik 12 individu dibekukan manakala 24 akaun satu syarikat melibatkan RM155,609.77,” jelasnya.
Semalam, sepuluh individu termasuk lima pegawai kanan ATM dan dua wartawan agensi media dalam talian ditahan disyaki terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Selain itu, turut direman seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran di Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) serta seorang wanita warga asing.
Lima pegawai kanan ATM terdiri anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah membocorkan maklumat kepada sindiket sehingga berlaku penyeludupan di perairan Selat Melaka sehingga Johor.
Mereka disyaki menerima wang rasuah berjumlah kira-kira antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan yang dijalankan.
Siasatan SPRM turut mengesan penglibatan lima pegawai kanan itu dengan sindiket pengedaran dadah di negara ini.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, empat daripada sepuluh individu yang ditahan dalam Op Sohor oleh SPRM dipercayai merupakan dalang dalam sindiket dadah.
Keempat-empat mereka terdiri seorang pegawai ATM selain tiga orang awam iaitu satu lelaki warga tempatan dan wanita warga asing (dua orang).




























