SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura menyiasat sebanyak 65 kes membabitkan pemilikan, penjualan dan pengimportan rokok elektronik (vape) yang mengandungi bahan berbahaya etomidate.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kenyataan bersama pada Jumaat, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) memaklumkan lima individu didakwa di mahkamah bagi kesalahan menjual atau mengimport e-vaporiser bercampur etomidate.
“MOH dan HSA mempergiatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan berkaitan e-vaporiser bercampur etomidate di Singapura,” menurut kenyataan tersebut.
Di bawah Akta Racun, sesiapa yang memiliki, mengimport atau menjual pod e-vaporiser yang mengandungi etomidate boleh berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga S$10,000 (RM32,844) jika sabit kesalahan.
Etomidate, sejenis bahan anestetik, akan turut diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Penggunaan e-vaporiser yang mengandungi bahan ini boleh membawa kepada pengawasan mandatori dan program pemulihan.
Pesalah berulang yang terus menggunakan atau mengedarkan peranti tersebut boleh berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun, manakala individu yang menjual, mengedar atau mengimport e-vaporiser etomidate boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, bergantung kepada tahap kesalahan.
Sementara itu, sebanyak 100 individu lagi sedang disiasat di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) atas kesalahan menjual, mengiklankan atau mengimport e-vaporiser, dan 18 orang telah didakwa di mahkamah.
Pemilikan, penggunaan atau pembelian e-vaporiser juga adalah kesalahan di Singapura. Sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga S$2,000 (RM6,569).
Bagi kesalahan pertama mengimport, mengedar atau menjual e-vaporiser, pesalah boleh didenda sehingga S$10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, hukuman meningkat kepada denda sehingga S$20,000 (RM65,696) atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.




























