Redonah menyerahkan sumbangan 100 kotak lampin pakai buang kepada Hospital Kota Marudu semalam.
KOTA MARUDU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda menyerahkan sumbangan lampin pakai buang kepada Hospital Kota Marudu di sini Khamis lalu.
Sumbangan berjumlah 100 kotak atau 800 pek lampin pakai buang jenama UNIDRY Happy Baby Pants ini disalurkan oleh Kim Teck Cheong Consolidated Berhad melalui Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dexter Lau.
Bantuan berkenaan akan diagihkan kepada golongan memerlukan, khususnya pesakit di Hospital Kota Marudu serta beberapa klinik kesihatan di daerah ini.
Redonah yang juga Timbalan Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, inisiatif sebegini memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat dan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin, pihak hospital dan komuniti.
“Inisiatif khidmat komuniti seperti ini wajar diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Pihak Hospital Kota Marudu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas keprihatinan membantu meringankan beban golongan memerlukan, khususnya ibu bapa pesakit kanak-kanak.
Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan antara pihak swasta dan pemimpin masyarakat dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat di daerah Kota Marudu.
































