Gambar Hiasan
SEOUL: Syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia, menerima kritikan selepas sebuah penerbangannya tidak mendarat di destinasi asal di Lapangan Terbang Incheon, Korea Selatan.
Menurut Utusan Malaysia, penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur itu sebaliknya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo.
Menurut laporan media, penerbangan AirAsia D7 506 yang dijadualkan tiba di Incheon pada 7.50 malam waktu tempatan pada Rabu mendarat di Gimpo, yang terletak kira-kira 35 kilometer (km) dari Incheon, pada 8.08 malam selepas berlegar-legar di udara.
Beberapa penumpang berkata, kapten mengumumkan mereka tiba di Incheon, menyebabkan ramai bangun untuk mengambil beg dari ruang simpanan di atas tempat duduk.
Namun, ada yang mendapati mereka berada di Gimpo selepas melihat keluar tingkap dan memeriksa telefon masing-masing.
“Semua orang panik. Nampaknya kru kabin tidak tahu kami mendarat di Gimpo sehingga penumpang memberitahu mereka,” kata Lee Mi-hyun, penumpang berusia 40-an yang pulang dari percutian ke Malaysia bersama suami dan anaknya kepada The Korean Herald.
Menurut Perbadanan Lapangan Terbang Korea, punca pesawat itu dilencongkan ke Gimpo adalah disebabkan gelora udara di ruang udara Incheon.
Pesawat itu kemudian mengisi minyak di Gimpo sebelum berlepas semula ke Incheon kira-kira dua jam kemudian.
Lee Mi-hyun menegaskan kru pesawat gagal mengendalikan situasi dengan baik sepanjang tempoh dua jam sebelum penerbangan ke Incheon disambung semula.
Katanya, tiada air diberikan dan hampir tiada makanan yang tinggal di dalam pesawat, menyebabkan penumpang terutama yang mempunyai anak kecil berasa tidak puas hati.
“Ada yang berkata mereka lebih rela turun di Gimpo sebelum pesawat berlepas semula ke Incheon,” katanya.
Kaptem dan kru kemudian memohon maaf melalui sistem pengumuman awam ketika pesawat menuju ke Incheon, di mana ia mendarat pada pukul 10.59 malam.
Beberapa penumpang mengecam syarikat penerbangan itu kerana gagal memberikan penjelasan jelas mengenai insiden pendaratan di Gimpo.
































