Wong mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor pada Peringatan Hari Sandakan.
SANDAKAN: Peringatan Hari Sandakan akan kekal sebagai jambatan hidup yang memupuk persefahaman, persahabatan dan kepercayaan antara Sabah, Australia dan Britain, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Sebagai Ketua Menteri Sabah, saya memberi jaminan bahawa legasi ini akan terus dipelihara, dihormati dan disampaikan kepada generasi akan datang,” katanya pada uapacara Peringatan Hari Sandakan yang diadakan di Taman Peringatan Sandakan di sini hari ini. Ucapannya dibacakan oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong.
Hajiji berkata, tahun ini menandakan ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua, namun bagi ramai keluarga, khususnya yang datang dari Australia, United Kingdom dan negara lain, kenangan terhadap insan tersayang yang terkorban di Sandakan masih segar dalam ingatan.
“Perhimpunan kita pagi ini bukan sekadar memperingati. Ia adalah penghormatan yang penuh makna. Sandakan bukan sekadar lokasi tragedi. Di sinilah semangat kemanusiaan bersinar di tengah-tengah kekejaman.
“Ia adalah tempat di mana ikatan terjalin daripada kesusahan, di mana tindakan mulia rakyat tempatan Sabah terserlah seiring perjuangan para askar Bersekutu. Di sini dan pada saat ini, kita memperteguh komitmen kita terhadap keamanan, perpaduan dan ingatan,” katanya.
Ketua Menteri berkata, Kawad Maut Sandakan dan kekejaman kem tahanan perang telah terukir dalam sejarah, bukan sahaja kerana kekejaman itu sendiri tetapi juga kerana detik-detik kemanusiaan bersama, seperti tindakan kebaikan yang senyap dan harapan berterusan mereka yang tetap berpegang kepada impian kebebasan walaupun berdepan segala rintangan.
“Kepada keluarga mereka yang terkorban, kehadiran anda di sini amat bermakna. Insan tersayang anda, sama ada askar atau rakyat Sabah yang mempertaruhkan segalanya untuk menyelamatkan mereka, tidak dilupakan. Kita menghormati kekuatan, pengorbanan dan kemanusiaan mereka yang luhur. Di Sabah, anda sentiasa akan menemukan tempat untuk memperingati mereka. Sandakan adalah tanah suci buat anda juga.
“Marilah kita menghargai wira-wira dalam kalangan kita, rakyat tempatan Sabah, yang keluarga mereka turut mengalami kehilangan dan penderitaan. Ramai yang mengorbankan nyawa untuk melindungi atau membantu askar Bersekutu. Keberanian mereka terus hidup dalam kisah-kisah yang diwarisi turun-temurun dan menjadi sebahagian daripada sejarah bersama yang tidak dapat dipadamkan,” katanya.
Ketua Menteri menyeru semua yang hadir agar berhenti sejenak dan memikirkan harga sebenar sebuah konflik dan betapa tidak ternilainya harta yang bernama keamanan.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Ajay Sharma, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Michael Wehi Mailetonga Walsh, pegawai kanan Suruhanjaya Tinggi Australia dan Kedutaan Amerika Syarikat serta pegawai Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan.
































