Kereta Perodua Axia yang dipandu pemandu wanita terbenam dalam lumpur selepas tersesat di kawasan ladang kelapa sawit di Alor Gajah, Melaka.
ALOR GAJAH: Perjalanan seorang pemandu e-hailing bertukar cemas apabila kereta dipandunya tersangkut dalam lumpur selepas tersesat di laluan ladang kelapa sawit di kawasan Vicky Leisure Farm di sini, pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, wanita berusia 43 tahun berkenaan dipercayai mengikut arahan sistem penentududukan sejagat (GPS) sehingga memasuki jalan berlumpur di ladang tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Shahrom Laji berkata, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera fire rescue tender (FRT) dan dua unit Rondaan Ikhtisas Mobil (RIM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Siasatan awal mendapati mangsa mengikuti GPS sehingga memasuki jalan ladang sawit yang berlumpur. Akibatnya, tayar hadapan kereta Perodua Axia dipandu mangsa terbenam dalam lumpur,” katanya hari ini.
Mohd. Shahrom berkata, pasukannya bertindak menolak kenderaan terlibat ke kawasan selamat sebelum memastikan tiada risiko berbahaya di lokasi.
“Pemandu wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.03 pagi,” katanya.




























