Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyelaras pelaksanaan dan tindakan bagi memastikan semua pihak memahami bahawa buli adalah suatu jenayah susulan pindaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu adalah antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau berkata, Perdana Menteri hari ini memberi gambaran bahawa amalan buli perlu dihentikan segera dan diambil tindakan tegas.
“Perdana Menteri telah menyampaikan satu pandangan tegas bahawa sikap buli seperti ini (kes kematian melibatkan Zara Qairina Mahathir) daripada terus berlarutan.
“Jadi antara perkara yang akan diusahakan dalam kalangan menteri-menteri adalah penyelarasan beberapa tindakan memandangkan pindaan kepada Seksyen 507B hingga 507G dan seterusnya, yang telah mula berkuat kuasa pada Julai lalu.
“Maka kita ingin pastikan pelaksanaan bagi pindaan yang telah mentakrifkan, mendefinasikan buli itu sebagai satu jenayah difahami oleh semua kementerian terutama yang menguruskan institusi pendidikan termasuk asrama dan beberapa tindakan akan disusuli,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) Tahun 2025 anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama INTAN di sini hari ini.
Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang bertujuan menangani isu buli dengan lebih efektif dan menyeluruh, termasuk buli siber, diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 Dis 2024 dan di Dewan Negara pada 16 Dis 2024.
Fahmi berkata, kerajaan juga mahu memastikan pelaksaan bagi pindaan yang mentakrifkan, mendefinasikan buli itu sebagai satu jenayah difahami oleh semua kementerian terutama yang menguruskan institusi pendidikan termasuk asrama.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijadual membuat kenyataan menteri di Dewan Rakyat Isnin ini mengenai beberapa perkara termasuk kes kematian Zara Qairina Mahathir.
“(Mengenai kes serangan ke atas anak kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli) memandangkan beberapa perkara masih dalam siasatan dan Ketua Polis Selangor juga sudah mengeluarkan kenyataan (bahawa) beberapa aspek siasatan itu masih berjalan sekarang.
“Jadi terpulang sekiranya hal itu akan disentuh dalam kenyataan menteri pada hari Isnin tetapi arahan Jemaah Menteri, arahan Perdana Menteri adalah supaya beberapa perkara disentuh dalam kenyataan Menteri oleh Menteri Dalam Negeri pada hari Isnin ini,” katanya.
Selain itu, Fahmi berkata, amanat Perdana Menteri dalam MAPPA XX menyentuh tentang peranan penjawat awam dalam memastikan keamanan, ketenteraman dan kemajuan negara terus terpelihara.
“Kita juga mengalu-alukan siri pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri yang kita anggap sebagai satu kelegaan bagi kumpulan penjawat awam.
“Tapi seperti yang Perdana Menteri sebutkan pengumuman besar untuk penjawat awam juga akan diumum insyaAllah pada 10 Oktober depan sewaktu pembentangan Belanjawan 2026,” katanya.




























