Johari Abdul Ghani
KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan lebih 34,000 kuota pekerja asing secara khas bagi sektor perladangan dalam usaha mengatasi kekurangan buruh yang dianggarkan mencecah 40,000 orang.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kelulusan khas itu diberikan secara case by case basismelibatkan 434 syarikat sehingga 9 Julai lalu.
“Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), sehingga 30 Jun 2025 jumlah pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif bagi sektor perladangan adalah seramai 258,153 orang. Namun, jumlah ini masih belum mencukupi.
“Industri melaporkan keperluan tambahan antara 30,000 hingga 40,000 orang dengan mengambil kira pekerja asing yang pulang ke negara asal selepas tamat tempoh permit,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH–Beruas) mengenai jumlah buruh diperlukan untuk sektor perladangan khususnya sawit dan getah serta kuota pekerja asing yang diberikan bagi mengatasi kekurangan tersebut.
Johari berkata, langkah itu dapat menampung kekurangan tenaga kerja sekali gus meningkatkan produktiviti dan hasil negara.
Menurut beliau, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) melalui Teras Dasar Produktiviti menetapkan nisbah buruh kepada keluasan tanah bagi sub-sektor sawit adalah 8:1, manakala bagi getah pula 4:1.
“Sektor agrikomoditi khususnya industri sawit sangat bergantung kepada tenaga kerja asing yang merangkumi lebih 70 peratus daripada jumlah keseluruhan buruh.
“Kerja-kerja di sektor ini dikategorikan sebagai kotor, bahaya dan sukar (3D) yang menyebabkan sektor tersebut kurang diminati warga tempatan,” katanya.