BUENOS AIRES: Seramai 96 orang dipercayai maut di Argentina selepas menerima rawatan menggunakan ubatan fentanyl yang tercemar dengan bakteria, menjadikannya insiden terburuk pernah terjadi dalam sejarah negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, angka rasmi kematian adalah 87 orang setakat ini, namun sumber kehakiman memberitahu akhbar Buenos Aires Herald sembilan lagi kes kematian sedang disiasat.
Amaran mula dikeluarkan pada Mei lalu apabila puluhan pesakit hospital mengalami jangkitan bakteria serius manakala ujian yang dilakukan telah mengesan kewujudan bakteria Klebsiella pneumoniae dan Ralstonia pickettii, termasuk strain yang kebal terhadap pelbagai jenis antibiotik.
Siasatan mendapati sumber jangkitan adalah fentanyl yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal HLB Pharma dan makmalnya, Laboratorio Ramallo.
Ujian yang dijalankan pihak pengawal ubat Argentina, Anmat mengesahkan pencemaran bakteria dalam tubuh mangsa serta dalam tabung daripada dua kelompok pengeluaran fentanyl syarikat berkenaan, dan salah satunya telah diedarkan secara meluas, kata Hakim Persekutuan Ernesto Kreplak.
Pemilik HLB Pharma, Ariel García Furfaro, menafikan kematian itu berpunca secara langsung daripada produknya dan mendakwa pihaknya sendiri menarik balik fentanyl dari pasaran disamping turut menuduh kemungkinan bahan pencemar tersebut telah ditanam oleh pihak tertentu.
Pihak berkuasa percaya pencemaran mungkin menjejaskan lebih 300,000 tabung yang diedarkan di wilayah Buenos Aires, Santa Fe, Córdoba, Formosa dan bandar Buenos Aires manakala dianggarkan sebanyak 45,000 tabung telah digunakan sebelum baki ditarik balik dan dirampas.
Ampul daripada kelompok tercemar telah ditarik balik, dan Kreplak memberi jaminan tabung tercemar tidak lagi berada di pasaran namun angka kematian terus meningkat kerana pihak penyiasat sedang meneliti kes kematian pesakit lain dalam beberapa bulan kebelakangan ini selepas menerima ubat tersebut.
Setakat ini, tiada pertuduhan dikenakan namun mahkamah telah menamakan 24 individu yang terlibat dalam penghasilan dan penjualan opioid itu sebagai suspek serta dilarang meninggalkan negara dan aset mereka dibekukan.
Fentanyl ialah opioid sintetik yang diluluskan bagi kegunaan melegakan kesakitan dan sebagai ubat bius, dan dianggarkan 50 hingga 100 kali lebih kuat berbanding morfin.






























