COLORADO: Penduduk Fort Collins dikejutkan dengan kemunculan arnab liar yang mempunyai ketumbuhan luar biasa menyerupai tanduk di kepala, hingga digelar “Frankenstein bunnies” oleh masyarakat setempat dan media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, fenomena pelik ini berpunca daripada jangkitan virus Shope papillomavirus (SPV), yang menyebabkan pertumbuhan seperti ketuat keras di sekitar muka arnab – termasuk mulut, mata dan telinga. Ketumbuhan ini boleh tumbuh panjang dan kelihatan seperti tanduk atau duri hitam.
SPV menjangkiti arnab liar daripada spesies cottontail dan disebarkan melalui gigitan nyamuk serta kutu. Walaupun virus ini tidak berbahaya kepada manusia atau haiwan peliharaan lain, ia boleh membawa kesan serius kepada arnab yang dijangkiti. Dalam keadaan teruk, ketumbuhan tersebut boleh menjejaskan penglihatan dan keupayaan makan arnab, sehingga mengakibatkan kelaparan dan kematian.
Virus ini pertama kali dikenalpasti pada 1930-an oleh pakar virologi Dr. Richard E. Shope, dan dipercayai menjadi inspirasi kepada legenda rakyat Amerika Utara tentang makhluk mitos “jackalope” – arnab bertanduk.
Pakar menjelaskan walaupun rupa arnab ini menggerunkan, kebanyakan daripada mereka mampu sembuh apabila sistem imun mereka dapat melawan virus tersebut.
Pihak berkuasa hidupan liar Colorado menasihati orang ramai supaya tidak menyentuh atau mendekati arnab liar yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan. Pemilik haiwan peliharaan, khususnya arnab, turut digesa mengambil langkah pencegahan seperti mengelakkan pendedahan kepada serangga pembawa penyakit, dan mendapatkan rawatan veterinar segera jika haiwan mereka menunjukkan simptom.
Kejadian ini bukan sahaja menarik perhatian komuniti saintifik, malah menjadi peringatan bahawa alam semula jadi sentiasa menyimpan kejutan – yang kadangkala menakjubkan, dan tidak kurang juga menyeramkan.




























