Dr. Joachim (dua dari kanan) menyaksikan penyerahan geran tanah di bawah Program PANTAS yang disempurnakan oleh Hajiji (tengah) kepada salah seorang penerima.
KOTA KINABATANGAN: Pembinaan Bandar Baharu Seri Milian dijangka menjadi pusat pertumbuhan baharu yang mampu merancakkan ekonomi setempat, menarik pelaburan strategik serta mengukuhkan kedudukan Kinabatangan sebagai destinasi persinggahan utama di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, projek pembangunan bercampur seluas 157.48 ekar itu akan berfungsi sebagai focal point baharu antara bandar-bandar utama seperti Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.
“Pembangunan ini tepat pada masanya kerana ia mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi melalui penyediaan lot komersial, industri kecil dan sederhana, serta peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya ketika berucap dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Pecah Tanah Bandar Baharu Seri Milian di Dataran Pekan Kota Kinabatangan, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.

Dr. Joachim (belakang, empat dari kanan) dan Hajiji (belakang, enam dari kiri) serta tetamu yang hadir merakamkan gambar kenangan bersama dengan penerima geran tanah di bawah Program PANTAS.
Dr. Joachim berkata, kedudukan strategik bandar baharu itu juga berpotensi menarik pelabur baharu, khususnya dalam pembinaan bangunan industri yang dapat menyokong industri sawit sedia ada, di samping menarik pelancong domestik dan luar negara untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi ekopelancongan sekitar daerah itu.
Beliau menjelaskan, projek yang dilaksanakan secara usaha sama dengan Sunmow Construction Sdn. Bhd. menggunakan kaedah mereka bentuk, membina dan membiayai sepenuhnya, akan dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk 58 lot industri ringan berkembar 1½ tingkat, 80 lot teres industri dua tingkat, 256 lot kedai teres dua tingkat, 548 unit rumah teres setingkat, hotel 13 tingkat dengan 200 bilik, masjid, stesen minyak, pusat maklumat pelancongan, pasar raya, bangunan futsal, food court, parkir terbuka, serta pejabat baharu Majlis Daerah Kinabatangan.
“Pembangunan ini akan meningkatkan nilai hartanah sekitar, mengembangkan potensi kutipan hasil PBT menerusi cukai pintu, caj perkhidmatan, pelesenan dan sewaan premis. Lebih penting, ia menambah stok perumahan mampu milik kepada rakyat,” katanya.
Menurut beliau, pewujudan Bandar Baharu Seri Milian merupakan satu lonjakan pembangunan di daerah Kinabatangan, yang bukan sahaja mengubah wajah Pekan Kota Kinabatangan, malah menjadi pemacu kepada pertumbuhan bandar-bandar baharu di kawasan sekitar.
“Saya yakin projek ini akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelan pembangunan lain yang telah dirancang bersama Majlis Daerah Kinabatangan demi kesejahteraan masyarakat setempat, dengan sokongan dan kelulusan Kerajaan Negeri,” katanya.
Dr. Joachim turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Noor atas kelulusan dan sokongan terhadap projek tersebut, serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis pecah tanah itu.
Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap ADUN Sugut; Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar merangkap ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah; Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr. Jamili Nais; Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah, Datuk Awang Kadin Tang; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Kenson; Pengerusi Majlis Daerah Kinabatangan, Willey Lampaki dan Pengerusi Penganjur majlis yang juga Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kinabatangan, Zuldahri Hj Tujoh serta para Pegawai dari agensi kerajaan.