KLUANG: Dua lelaki dan seorang wanita cedera melecur teruk dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Simpang Renggam pada 13 Ogos lalu, kira-kira pukul 5.46 pagi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh dalam kenyataan berkata, mangsa terdiri daripada lelaki berusia 44 tahun, wanita berumur 37 tahun, dan seorang lagi lelaki berusia 30 tahun, kesemuanya warga tempatan.
Menurut laporan seorang pemandu bas pekerja berusia 57 tahun, insiden berlaku ketika basnya berhenti di kawasan tersebut.
Seorang lelaki secara tiba-tiba menarik keluar seorang wanita dari dalam bas sebelum menyimbah petrol ke atas dirinya dan wanita itu, lalu menyalakan api menggunakan pemetik api.
Melihat kejadian tersebut, seorang lelaki lain yang berada berhampiran cuba membantu, namun turut terbakar pada sebahagian tubuh.
Bahrin berkata, lelaki dan wanita yang dipercayai pasangan kekasih itu melecur teruk di seluruh badan dan kini ditidurkan untuk rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang. Mangsa ketiga juga dirawat di hospital sama.
Suspek berusia 44 tahun disiasat di bawah Seksyen 306 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
































