Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR: Jumlah kerugian kewangan akibat jenayah penipuan dalam talian (online scam) setakat Jun tahun ini adalah sebanyak RM1.12 bilion.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beberapa langkah telah diambil bagi mengekang jenayah penipuan, termasuklah fungsi Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (National Scam Response Centre-NSRC terus diperkukuh sebagai pusat sehenti (One Stop Centre) yang beroperasi 24 jam.
“Setelah hampir tiga tahun beroperasi secara pentadbiran, Perdana Menteri sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) telah bersetuju agar NSRC diletakkan di bawah kawal selia KDN dan diterajui oleh PDRM dan pengukuhan NSRC ini turut mengambil kira penubuhan Rangkaian 24/7 (24/7 Network) yang merupakan titik perhubungan (point of contact) untuk memudahkan kerjasama segera antara negara dalam bantuan teknikal siasatan jenayah siber merentasi sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis dalam portal Parlimen, semalam.
Beliau menjawab soalan R. Yuneswaran (PH-Segamat) yang meminta pihak kementerian menyatakan jumlah kerugian kewangan yang dialami rakyat Malaysia akibat penipuan dalam talian bagi tahun 2025 hingga bulan Julai serta langkah-langkah yang telah dan sedang diambil oleh Kementerian untuk membendung penipuan dalam talian.
Selain itu, Saifuddini turut memaklumkan berdasarkan rekod PDRM , seramai 35,265,476 pelawat telah dicatatkan sehingga 30 Jun 2025, dimana menerusi portal Semakmule 2.0, PDRM boleh menyemak status akaun bank, nombor telefon dan syarikat yang mungkin terbabit dengan penipuan.
“Portal ini bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menyediakan maklumat yang tepat dan terkini mengenai akaun yang disyaki terbabit dengan penipuan dan sekaligus meningkatkan keselamatan pengguna dan mengurangkan insiden penipuan dalam talian.
“Selain itu, sebanyak 265,869 akaun bank, 211,265 nombor telefon dan 12,724 nama syarikat telah direkodkan dalam pangkalan data sistem portal, hasil daripada maklumat yang diperolehi mangsa penipuan serta hasil siasatan pihak polis,” ujarnya.






























