TOKYO: Promosi edisi terhad kad Pokémon di restoran makanan segera, McDonald’s Jepun kecoh apabila pelanggan memborong set Happy Meal semata-mata untuk mendapatkan kad tersebut, lalu membuang makanan yang disertakan.
Menurut Utusan Malaysia, promosi yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Ogos lalu berakhir hanya dalam beberapa jam pada hari pertama selepas jualan melambung tinggi di kebanyakan cawangan.
Set Happy Meal berharga sekitar 510 yen (RM14) merangkumi makanan, minuman dan mainan namun, kad Pokémon eksklusif yang disertakan kini dilaporkan dijual semula di platform seperti eBay pada harga sehingga AS$28 (RM117) setiap satu.
Gambar yang tular di media sosial memaparkan beg-beg Happy Meal tidak terusik dibuang di kaki lima dan makanan tidak diambil dibiarkan di kaunter ambil sendiri, sehingga mencetuskan kecaman terhadap pembaziran makanan.
“Kami kesal memaklumkan bahawa pengedaran kad Pokémon kepada pelanggan yang membeli Happy Meal Pokémon telah berakhir di banyak cawangan lebih awal daripada jadual akibat jualan melebihi jangkaan,” menurut kenyataan McDonald’s Jepun di laman web rasmi.
Jepun lazimnya dikenali sebagai negara bersih dengan standard kebersihan awam yang tinggi namun, imej longgokan sampah di luar restoran menimbulkan perhatian dan desakan supaya pihak pengurusan segera membersihkan keadaan.
Dalam kenyataan pada Isnin, McDonald’s Jepun menegaskan pihaknya tidak membenarkan pembelian Happy Meal untuk tujuan jualan semula atau pembuangan makanan secara sengaja disamping akan bekerjasama dengan pihak ketiga bagi menyekat aktiviti menjual semula kad berkenaan pada harga melampau.
“Kejadian ini jelas bercanggah dengan falsafah lama kami untuk menyediakan pengalaman menjamu selera yang menyeronokkan kepada kanak-kanak dan keluarga. Kami memandang serius perkara ini dan mengakui respons kami sebelum ini tidak mencukupi,” kata kenyataan itu.
Pokémon, francais permainan dan hiburan yang berasal dari Jepun sejak 1996, terkenal dengan pasaran kad koleksi bernilai tinggi.
Kad edisi terhad dalam keadaan sempurna boleh mencecah ratusan dolar di pasaran, mendorong sesetengah pihak membelinya sebagai pelaburan spekulatif.
































