IDAHO: Pasangan di Idaho tular selepas mencetuskan trend aneh menjual tiket kepada pengguna media sosial berharga AS$1,000 (RM4,221) setiap satu untuk menghadiri majlis perkahwinan mewah mereka yang berlangsung selama tiga hari awal bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, meskipun dikecam dan dituduh sebagai ‘scammer’ oleh sesetengah pihak, majlis perkahwinan Marley Jaxx dan Steve Larsen pada 1 Ogos lalu berjalan lancar dengan kehadiran kira-kira 270 tetamu, kebanyakannya orang asing yang mereka kenali melalui internet.
Pasangan usahawan digital dari Idaho ini menegaskan tujuan mereka bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata, tetapi sebagai usaha mengubah industri perkahwinan bernilai berbilion dolar dan memberi impak positif kepada masyarakat.
“Kos menganjurkan majlis perkahwinan sangat mahal sekarang dan menjual tiket untuknya adalah sesuatu yang berbeza,” kata Jaxx.
Larsen bersama suaminya menyumbangkan lebihan dana daripada jualan tiket itu kepada Village Impact, sebuah organisasi yang membina sekolah di Afrika.
“Kami melakukannya dengan niat yang ikhlas dan berteraskan tujuan, bukan untuk menipu,” tambah Jaxx.
Selain acara makan malam raptai, majlis perkahwinan dan resepsi, tetamu yang membeli tiket mewah turut menikmati pengalaman unik seperti sesi kaunseling hubungan bersama pakar serta ‘Biohacking Brunch’ pada pagi Sabtu.
Pada acara tersebut, tetamu yang keletihan selepas parti mendapat rawatan terapi cahaya merah, latihan pernafasan dan sesi pemulihan tenaga menggunakan peralatan bernilai AS$20,000 (RM84,440).
Malah, harga tiket majlis tersebut ditentukan hasil cadangan pengikut media sosial mereka.
“Kami tanya berapa yang mereka sanggup bayar untuk semua pengalaman ini, dan mereka jawab, ‘seribu!’” kata Larsen sambil ketawa.
Ahli keluarga dan rakan terdekat diberikan akses VIP penuh ke acara selama tiga hari itu.
Sementara itu, peminat yang berbelanja secara sederhana ditawarkan pilihan membayar AS$57 (RM240) untuk menghadiri majlis nikah dan resepsi pada petang Jumaat, atau AS$97 (RM409) untuk menyertai makan malam raptai pada malam Khamis serta majlis perkahwinan.
Kira-kira 100 tetamu memilih pakej bajet tersebut.
























