Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) segera mendakwa individu yang terbabit dalam perbuatan buli terhadap remaja berusia 13 tahun itu sekiranya keterangan sedia ada kukuh tanpa menunggu proses inkues.
Menurut Utusan Malaysia, peguam, Shahlan Jufri yang mewakili keluarga mangsa bersama empat lagi rakan guam berkata, siasatan Pasukan Petugas Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mendapati wujud keterangan yang menjurus ke arah kejadian buli sebelum Zara Qairina meninggal dunia.
“Jika keterangan tersebut boleh dipercayai di mahkamah, kami mencadangkan agar AGC mendakwa mereka di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
“Hukuman bagi kesalahan ini adalah penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Dengan langkah ini, inkues tidak perlu lagi diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, sekiranya bukti yang diperoleh tidak mencukupi, siasatan lanjut perlu dijalankan serentak dengan inkues bagi memperkukuh kes sebelum pendakwaan dibuat.
Kata mereka, pendedahan JSJ membuktikan ‘plot twist’ yang tular di media sosial sebelum ini kononnya anak guam mereka menjadi punca kematian Zara Qairina adalah fitnah yang direka untuk memburukkan mangsa dan keluarganya.
Malah, mereka juga berterima kasih kepada Datuk M. Kumar, JSJ Bukit Aman dan Pasukan Petugas Khas kerana bertindak pantas menyiasat kes ini.
“Kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis, kami merayu agar anda tampil ke hadapan.
“Salurkan maklumat anda kepada polis. Jika anda takut atau memerlukan bantuan untuk berbuat demikian, anda boleh berjumpa dengan kami.
“Kami berterima kasih dan menghargai seluruh rakyat Malaysia yang menyokong dan berdoa mencari keadilan untuk Zara Qairina. Pada masa sama, elakkan membuat spekulasi yang tidak benar tentang kes kematian Zara,” katanya.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, siasatan pasukan petugas khas berhubung kematian pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah itu menjurus ke arah berlakunya buli sebelum kejadian.
Pengarah JSJ, Datuk M Kumar berkata, ia hasil keterangan yang dirakamkan dan dapatan siasatan setakat ini.
Menurutnya, susulan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.






























