Sabah dan Sarawak kaya dengan sumber dan kedudukan strategik dan sangat tepat untuk dijadikan Pusat Industri Pertahanan Borneo.
Di sebalik Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), satu syarat asas yang tidak boleh diabaikan ialah pertahanan dan keselamatan negara.
Memetik Utusan Malaysia, keselamatan merupakan prasyarat penting dalam menjana pelaburan luar. Pelabur asing akan melihat kestabilan demi memastikan keselamatan aset dan pelaksanaan projek.
Di sinilah nilai sistem keselamatan siber, maritim, sempadan dan pertahanan menjadi ‘infrastruktur tidak ketara’, menyokong pertumbuhan industri strategik seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, aeroangkasa dan tenaga bersih.
Sabah dan Sarawak kaya dengan sumber dan kedudukan strategik dan sangat tepat untuk dijadikan Pusat Industri Pertahanan Borneo.
Dengan pelabuhan, sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkembang dan infrastruktur sedang diperkukuh di bawah RMK13.
Kedua-dua negeri ini mampu berdaya saing dalam menjadi pusat penyelenggaraan dan pembuatan peralatan pertahanan (MRO), menghasilkan peranti keselamatan maritim, darat, udara, menyediakan latihan keselamatan berteknologi tinggi. Kerjasama antara tentera, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan akademia akan membentuk ekosistem ‘buatan Malaysia’ yang berdaya saing global.
Sabah dan Sarawak mempunyai kelebihan yang ketara dari segi tenaga kerja dan modal insan. Dengan populasi yang besar, kedua-dua negeri ini memiliki potensi untuk dibangunkan sebagai pusat pengeluaran tenaga mahir yang diperlukan dalam industri pertahanan, termasuk dalam bidang kejuruteraan, teknologi pembuatan, logistik dan keselamatan siber.
Dari sudut penempatan infrastruktur, jumlah penduduk yang tinggi menjadikan pembangunan institusi seperti kampus TVET, pusat latihan industri serta kemudahan penyelidikan dan inovasi lebih praktikal, berskala dan mampan untuk dikekalkan dalam jangka panjang.
Sabah dan Sarawak juga mampu memenuhi permintaan pasaran secara lebih meluas bukan sahaja dari segi keperluan domestik, tetapi juga sebagai pangkalan bekalan dan servis untuk pasaran serantau di ASEAN dan Indo-Pasifik, seiring dengan kedudukan geostrategik kedua-dua negeri tersebut.
RMK13 bukan sekadar pelan ekonomi. Ia menuntut pendekatan menyeluruh yang meletakkan pertahanan sebagai salah satu pelaburan strategik untuk kemakmuran jangka panjang. Menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai hab pertahanan bukan hanya meningkatkan keupayaan keselamatan negara tetapi juga memperluas peluang ekonomi dan merapatkan jurang pembangunan antara semenanjung dan Borneo.
Pertahanan bukan beban, ia adalah pelaburan masa hadapan. Sabah serta Sarawak berpotensi menjadi pusat kekuatan itu.
Dr. Nur Surayya Mohd Saudi
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)






























