Dr. Ramzah Dambul
KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (Sabah), (IDS) akan menganjurkan Program Jelajah Sabah Tanah Airku (JSTA) di kawasan Sipitang pada Sabtu, 16 Ogos, diikuti kawasan Beaufort pada Ahad, 17 Ogos.
Penganjuran ini bersempena sambutan Bulan Kebangsaan sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap Sabah.
Program ini diadakan khusus untuk menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh identiti rakyat Sabah, dan menyatupadukan masyarakat melalui penghayatan sejarah, budaya dan pembangunan negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, program ini menjadi wadah ruang bicara dan perkongsian maklumat bagi menyampaikan inisiatif yang dilaksanakan oleh IDS secara langsung kepada masyarakat.
“Sabah yang memiliki keunikan dari segi geografi, etnik, budaya dan sumber alam semula jadi, dengan lebih 30 kumpulan etnik hidup harmoni bersama. Kepelbagaian inilah menjadi kekuatan negeri yang harus dimanfaatkan untuk pemerkasaan komuniti dan pembangunan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Ramzah berkata, pendekatan jelajah memberi peluang kepada peserta untuk menyuarakan aspirasi, berkongsi pandangan, serta melihat sendiri inisiatif pembangunan yang dijalankan.
“IDS percaya pengalaman ini akan memupuk rasa empati, memperkukuh patriotisme, dan melahirkan generasi yang mengenali, menghargai, serta membangunkan Sabah bersama,” tambahnya.
Program ini akan menampilkan Forum Jelajah Sabah Tanah Airku: ‘Warna Warni Komuniti, Satu Nadi Satu Suara’ – sesi bicara dan perkongsian daripada Ketua Bahagian Ekonomi Akar Umbi, Masmidah Arsah, Ketua Bahagian Pembangunan Wilayah, Anita Limjoon dan Dr. Ramzah serta Alexander Palik, Penyelidik Bersekutu Kanan sebagai Moderator.
Majlis perasmian penutupan akan disempurnakan oleh Pengerusi IDS, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun, dengan kehadiran Datuk Matbali Musah (Ahli Parlimen Sipitang), Datuk Dr. Yusof Yacob (Pengerusi Qhazanah Sabah dan ADUN Sindumin) serta Datuk Ruslan Muharam (Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah dan ADUN Lumadan).
Selain menyampaikan mesej kecintaan kepada negeri, program ini juga memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin, memahami cabaran setempat, serta meninjau inisiatif pembangunan yang sedang dilaksanakan Kerajaan bersama komuniti.
Untuk maklumat lanjut, sila berhubung melalui e-mel kepada Penyelaras Program, Addellyne Christie di Addellyne.christie@ids.org.my atau telefon ke 088-450500.






























