Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada hujung bulan ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada agenda reformasi undang-undang yang dilaksanakan Kerajaan Madani dalam tempoh dua tahun setengah ini.
Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan membentangkannya kepada Jemaah Menteri pada akhir bulan ini.
“Pemisahan ini memang dituntut sejak sekian lama. Kemajuan ini amat menggalakkan,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai senarai undang-undang lapuk yang akan dipinda atau dimansuhkan.
Anwar memaklumkan, setakat ini kerajaan telah melaksanakan 23 reformasi undang-undang, termasuk dua pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan serta penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
Antara pembaharuan yang dilaksanakan ialah pindaan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak, penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman 2025 dan RUU Jenayah Siber 2025.
“Ini adalah rekod dua tahun setengah pentadbiran Kerajaan Madani yang belum dapat ditandingi oleh kerajaan terdahulu, termasuk kerajaan Yang Berhormat (Rosol),” katanya.
Mengenai Akta Anti Lompat Parti, Anwar berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk mencadangkan penambahbaikan Akta Anti Lompat Parti supaya ia dilengkapkan.
Katanya, cadangan itu pernah beliau kemukakan ketika menjadi Ketua Pembangkang, namun tidak dimasukkan dalam pindaan Perlembagaan 2022 yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
“Walaupun ada cadangan baharu, tidak mengapa. Tetapi jangan kita padamkan fakta yang menghalang dulu ialah pihak sebelah sana (pembangkang kini),” katanya.
































