Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Anthony Loke dan Aedy Fadly dekat Istana Bukit Kayangan, di Shah Alam, Selangor pada Jumaat lalu.
SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri SIS sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-80 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Disember ini.
Menurut Utusan Malaysia, tanda indeks NPI yang membawa maksud Sultan Idris Shah, Sultan Selangor kesembilan itu juga bersempena sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan baginda tahun depan.
Pejabat Sultan Selangor memaklumkan, Kementerian Pengangkutan menerusi JPJ akan menawarkan bidaan kepada orang awam secara dalam talian melalui sistem JPJeBid yang akan dibuka bermula 15 hingga 19 Ogos ini manakala keputusan pada keesokan harinya.
“Kaedah penawaran tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui sistem JPJeBid. Harga bidaan adalah mengikut harga minima yang telah ditetapkan oleh JPJ,” katanya, kelmarin.
Tambahnya, sebahagian hasil jualan NPI itu akan disalurkan ke sebuah yayasan di bawah naungan Sultan Selangor.
“Ia akan digunakan bagi aktiviti kebajikan termasuk biasiswa dan dana kecemasan kepada golongan memerlukan seperti tragedi bencana alam.
“Yayasan itu akan dipengerusikan Ahli Dewan Diraja Selangor yang juga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim dan akan diuruskan tertakluk kepada prosedur serta tadbir urus yang telus,” ujarnya.
JPJ juga akan menjadi satu-satunya entiti yang akan menguruskan penjualan NPI itu dan tiada pihak ketiga terlibat dalam proses berkenaan.
Jumaat lalu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli
di Istana Bukit Kayangan, di sini.