Hajiji bersama wakil rakyat Ranau dan rakyat pada majlis pecah tanah.
RANAU: Ketua Menteri yang juga Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa Majlis Tertinggi GRS telah bersetuju untuk mengekalkan formula kerjasama sedia ada dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
Beliau berkata, sejarah telah membuktikan bahawa sebuah kerajaan negeri perlu mempunyai hubungan yang kukuh dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kita mahu hubungan yang erat dengan Kerajaan Persekutuan. Kita mahu kestabilan dan kita berharap rakyat memahami bahawa kita sedang melakukan yang terbaik untuk mereka, demi membawa kemakmuran kepada mereka,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Projek Pekan Baharu Paginatan di Dewan Terbuka Memorial Nunuk Ragang di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, rekod pencapaian Kerajaan Negeri GRS-PH dalam membawa kemajuan kepada Sabah telah terbukti.
“Kita mempunyai lebih 400 inisiatif di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, dan kira-kira 94 peratus daripadanya telah dilaksanakan,” katanya.
Hajiji berkata, perkara ini bercanggah dengan dakwaan pembangkang yang menurutnya bertujuan untuk mengaburi mata rakyat.
Beliau berkata, Kerajaan GRS-PH telah meluluskan pelbagai program bantuan untuk pembangunan pendidikan negeri dan kesejahteraan rakyat yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri sebelum ini.
“Tahun ini sahaja, kita memberikan bantuan bulanan RM300 kepada hampir 100,000 golongan miskin tegar, dan inisiatif ini akan diteruskan sekiranya rakyat mengembalikan mandat kepada GRS-PH pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau turut berkata, Kerajaan Negeri GRS-PH telah berjaya mendapatkan penyertaan yang lebih besar dalam sektor minyak dan gas melalui pemeteraian bersejarah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas pada 2021.


































