WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad berikrar mengusir golongan gelandangan dari ibu negara itu dan memenjarakan penjenayah, meskipun Datuk Bandar Washington menegaskan tiada peningkatan jenayah ketika ini.
“Gelandangan perlu diusir, sekarang. Kami akan berikan tempat tinggal, tetapi jauh dari ibu negara. Penjenayah, anda tidak perlu berpindah, kami akan letakkan anda di penjara, tempat yang sepatutnya,” kata Trump di platform Truth Social.
Menurut Utusan Malaysia, Rumah Putih enggan menjelaskan kuasa undang-undang yang akan digunakan Trump untuk mengusir individu dari Washington. Presiden daripada parti Republikan itu hanya mengawal tanah dan bangunan persekutuan di bandar tersebut.
Trump merancang untuk mengadakan sidang media pada Isnin bagi menghentikan jenayah ganas di Washington namun tidak jelas sama ada beliau akan memperincikan rancangan pengusiran tersebut.
Dalam hantaran di Truth Social, Trump turut memuat naik gambar khemah dan jalan di Washington yang dipenuhi sampah, sambil berikrar akan menjadikan ibu negara lebih selamat dan lebih indah berbanding sebelumnya.
Menurut Community Partnership, sebuah organisasi yang berusaha mengurangkan kadar gelandangan di Washington, pada mana-mana malam tertentu terdapat kira-kira 3,782 individu bujang yang tidak mempunyai tempat tinggal di bandar berpenduduk sekitar 700,000 itu.
Kebanyakan mereka berada di pusat perlindungan kecemasan atau perumahan sementara, manakala sekitar 800 orang hidup di jalanan.
Seorang pegawai Rumah Putih berkata pada Jumaat bahawa lebih ramai pegawai penguat kuasa undang-undang persekutuan dikerahkan ke bandar itu susulan serangan ganas terhadap seorang kakitangan pentadbiran Trump yang mencetuskan kemarahan presiden.
Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser, daripada parti Demokrat menegaskan pada Ahad bahawa tiada lonjakan jenayah di bandar itu.
“Memang benar kita mengalami lonjakan jenayah teruk pada 2023, tetapi ini bukan 2023. Dalam tempoh dua tahun lalu, kami berjaya menurunkan kadar jenayah ganas ke paras terendah dalam tempoh 30 tahun,” katanya kepada saluran MSNBC.
Data polis menunjukkan jenayah ganas dalam tujuh bulan pertama 2025 menurun 26 peratus berbanding tahun lalu, manakala kadar jenayah keseluruhan berkurang sekitar tujuh peratus.