Anthony Loke Siew Fook
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak bercadang mewajibkan pemasangan papan pemuka atau ‘dashcam’, sebaliknya mengambil pendekatan menggalakkan penggunaannya secara sukarela.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kementerian melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengawal selia dan mewajibkan pemasangan sistem pemantauan sejagat (GPS) ke atas kenderaan perdagangan selaras dengan pematuhan Kod Amalan Industri Keselamatan (ICOP).
“Keperluan ini turut diperincikan sebagai syarat mandatori dalam lesen pengendali yang dikeluarkan oleh APAD, di mana setiap pengendali diwajibkan untuk memastikan semua kenderaan perdagangan dilengkapi sistem GPS yang berfungsi sepenuhnya dan mampu memantau serta merekod perjalanan secara berterusan,” katanya dalam jawapan bertulis dalam laman portal Dewan Rakyat bertarikh 7 Ogos lalu.
Beliau menjawab Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu ) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah Kerajaan bercadang mewajibkan pemasangan ‘dashcam’ dan sistem pemantauan kelajuan (GPS tracker) serta diintegrasikan dengan pusat kawalan operasi.
Roslan berkata, ia untuk pengawasan setiap kenderaan pengangkutan awam terutama bas dan lori bagi memudahkan siasatan jika berlaku kemalangan.
Anthony berkata, pendekatan sistem GPS juga dilaksanakan bagi mempertingkat tahap keselamatan operasi dan membolehkan pemantauan yang lebih berkesan terhadap pematuhan aspek keselamatan oleh pengendali.
































