BANGKOK: Thailand meluahkan rasa kesal dan kebimbangan mendalam susulan serangan terhadap dua pelancong Malaysia yang dibakar di hadapan satu pusat membeli-belah tersibuk di sini, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Sorawong Thienthong, berkata beliau sudah mengarahkan agensi-agensi berkaitan di bawah kementeriannya untuk memberikan bantuan segera dan memastikan keselamatan mangsa, menurut laporan Nation Thailand.
Beliau juga mengarahkan kawalan keselamatan dipertingkatkan di kawasan pelancongan utama bagi mengembalikan keyakinan pelancong antarabangsa.
Kementerian turut membantu mangsa dalam proses permohonan pampasan menerusi skim bantuan untuk pelawat asing yang cedera atau terkorban.
Sorawong menegaskan kerajaan Thailand mengutamakan keselamatan dan kebajikan semua pelawat, tanpa mengira negara asal mereka.
Kejadian ngeri itu berlaku sekitar pukul 10 malam pada 7 Ogos, apabila dua mangsa iaitu Ong Yik Leong, 26, dan Gan Xiao Zhen, 27 duduk di tangga luar pusat beli-belah berkenaan.
Menurut laporan media tempatan, suspek mendekati mereka dari arah belakang, menyimbah cecair dipercayai minyak tanah dari botol plastik, dan kemudian menyalakan api pada mereka.
Mangsa dilaporkan cuba melarikan diri selepas disimbah, namun suspek mengejar dan terus menyalakan api sehingga mereka terbakar.
Orang awam yang berada di lokasi bertindak pantas campur tangan dan berjaya menahan suspek sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa. Suspek kini ditahan di balai polis untuk siasatan lanjut.
Pihak polis memaklumkan suspek baru sahaja diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan dan dipercayai mengalami tekanan akibat kehilangan pekerjaan.