TOKYO: Sebuah sekolah menengah di Jepun menarik diri daripada kejohanan besbol musim panas paling berprestij negara itu selepas tular laporan mengenai insiden buli melibatkan pasukan besbol sekolah berkenaan, menurut kenyataan rasmi semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Sekolah Tinggi Koryo dari wilayah Hiroshima membuat keputusan menarik diri daripada Kejohanan Besbol Sekolah Tinggi Jepun dikenali sebagai Koshien, yang disiarkan secara langsung kepada jutaan penonton di seluruh negara setiap tahun.
Kejohanan ini pernah melahirkan pemain-pemain ternama Jepun seperti Shohei Ohtani (Los Angeles Dodgers) dan Yu Darvish (San Diego Padres).
Pengetua sekolah, Masakazu Hori, berkata keputusan itu diambil susulan tekanan awam dan kritikan meluas di media sosial selepas dakwaan keganasan membabitkan beberapa pemain pasukan besbol sekolah itu mencetuskan kontroversi.
“Kami memutuskan untuk menarik diri dan akan segera melakukan penambahbaikan terhadap kaedah pendidikan kami,” kata Hori kepada media.
Menurut laporan, ini merupakan kali pertama sebuah sekolah menengah menarik diri daripada Koshien di pertengahan kejohanan akibat skandal keganasan pemain.
Insiden tersebut dilaporkan berlaku pada Januari lalu, apabila seorang pelajar tahun pertama pasukan besbol dipukul oleh empat pelajar senior di asrama sekolah. Antara tindakan keganasan yang dilaporkan termasuk menolak dada mangsa dan menampar wajahnya.
Siasatan dalaman sekolah mengesahkan kejadian itu, dan mangsa telah dipindahkan ke sekolah lain pada Mac selepas pelaku memohon maaf.
Walaupun kejadian itu dimaklumkan kepada pihak Persekutuan Besbol Sekolah Tinggi Jepun dan menerima teguran rasmi, ia tidak didedahkan kepada umum.
Namun, perkara itu menjadi tular awal bulan ini selepas satu hantaran di media sosial membangkitkan semula insiden tersebut, mencetuskan kemarahan orang ramai dan sorakan kecaman terhadap sekolah.
Sejak itu, beberapa dakwaan lain yang tidak disahkan turut tersebar di media sosial, menuduh pasukan besbol sekolah terbabit dalam kes-kes keganasan tambahan. Pengetua Hori menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai “fitnah dan spekulasi tanpa asas”.
“Ada pelajar kami yang telah diburuk-burukkan dan diburu ketika pergi dan pulang sekolah,” katanya, sambil mendedahkan sekolah turut menerima ancaman bom berikutan kemarahan orang ramai.
Persekutuan Besbol Sekolah Tinggi Jepun, yang menganjurkan Koshien bersama-sama badan sukan lain, menyifatkan keputusan Sekolah Tinggi Koryo sebagai “amat dikesali”.
Dalam satu kenyataan, persekutuan itu berikrar untuk memperhebat usaha membanteras keganasan, amalan buli, dan budaya hierarki tidak rasional dalam kalangan pasukan sekolah.