KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu meningkatkan bilangan institusi dan pengambilan mahasiswa perubatan di Sabah bagi mengatasi masalah kekurangan doktor pakar di negeri itu.
Menurut Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui (GRS) berkata, masalah kekurangan doktor pakar seperti pakar jantung bukan sahaja membelenggu Sabah, bahkan turut memberi kesan kepada Semenanjung.
“Kementerian juga boleh menggunakan sumber luar untuk perkhidmatan kesihatan kepada hospital dan klinik swasta dengan mengenakan pembayaran kepada rakyat, mengikut kadar hospital kerajaan.
“Ketika ini, hospital kerajaan tidak mampu untuk menampung keperluan kesihatan keseluruhan rakyat. Cadangan ini tidak membebankan kewangan kerajaan dan jauh lebih murah, kerana tidak perlu penyelenggaraan mesin, pembinaan hospital dan penambahan kakitangan.
“Usaha ini juga akan meningkatkan taraf dan peluang kepada doktor-doktor dalam bidang perubatan tanpa perlu keluar dari Malaysia,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, beliau membangkitkan isu kekurangan tenaga pakar yang semakin meruncing kerana hanya terdapat dua pakar kardiologi bagi menampung keperluan lebih empat juta penduduk di Sabah.
Situasi lebih menyayat hati, katanya, apabila ada pesakit yang menunggu giliran bagi mendapatkan rawatan pakar jantung meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan.
Untuk rekod, sehingga 2024, hanya terdapat 554 doktor pakar dan 1,951 pegawai perubatan di Sabah.
Sabah memerlukan 7,000 doktor bagi mencapai nisbah seorang doktor bagi setiap 500 penduduk seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).