Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Semua pihak perlu memberi ruang kepada pegawai penyiasat melakukan siasatan menyeluruh bagi menentukan punca kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menurut Utusan Malaysia, peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan menyifatkan kes melibatkan pelajar tersebut bukan sesuatu yang sukar untuk diselesaikan.
Selain itu katanya, penglibatan pihak ketiga termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kes Zara Qairina pada tahap kini mungkin sudah tidak diperlukan lagi.
“Spekulasi oleh orang awam lagi mengeruhkan kes ini kerana kita semua tidak mempunyai pengetahuan sebenar mengenai kes ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook semalam.
Muhammad Hasif berkata, semua pihak perlu bertenang dan memberi peluang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dengan baik.
Menurutnya, penglibatan banyak pihak khususnya yang tidak ada kaitan secara langsung dalam siasatan kes Zara Qairina hanya akan menyebabkan kes tersebut semakin bercelaru.
“Semakin banyak penglibatan pihak ketiga semakin bercelaru kes ini.
“Tidak dapat dinafikan akan ada pihak akan mengambil kesempatan membuat pelbagai cerita sensasi, mangsa telah ‘diitu dan diini’ yang tidak tahu kebenaran dan hujung pangkalnya dan mengganggu kerja pegawai penyiasat,” katanya.




























