NEW DELHI: Polis India menahan enam lelaki selepas didakwa menyamar sebagai pegawai polis dan memeras wang sumbangan melalui sebuah pejabat sewa yang dilabel sebagai ‘biro penyiasatan jenayah’.
Menurut Utusan Malaysia, polis dalam kenyataan lewat Ahad memaklumkan, premis yang dinamakan International Police and Crime Investigation Bureau itu beroperasi dari sebuah bangunan pejabat di bandar satelit New Delhi di Noida, yang dihiasi dengan warna dan logo menyerupai pasukan keselamatan sebenar negara itu.
Suspek didakwa memalsukan dokumen dan sijil, selain mengendalikan sebuah laman web bagi mendapatkan sumbangan daripada mangsa.
Mereka turut mendakwa mempunyai hubungan dengan Interpol dan unit jenayah antarabangsa lain.
“Para pelaku ini menampilkan diri mereka sebagai penjawat awam,” kata polis.
Polis merampas beberapa telefon bimbit, buku cek, cop mohor dan kad pengenalan dalam serbuan yang dijalankan semalam.
Penahanan ini berlaku beberapa minggu selepas seorang lelaki ditahan kerana didakwa mengendalikan sebuah kedutaan palsu dari rumah sewa berhampiran New Delhi, menipu pencari kerja dengan janji membantu mendapatkan peluang pekerjaan di luar negara.
Lelaki itu dilaporkan mengendalikan Kedutaan West Arctic haram dan mendakwa dirinya sebagai duta kepada negara-negara rekaan termasuk West Arctica, Saborga, Poulvia, Lodonia.