KUALA LUMPUR: Polis menahan bekas pembantu peribadi seorang Ahli Parlimen bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memuat naik video tanpa kebenaran dan hantaran berunsur jahat di Facebook, Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu iaitu Ahli Parlimen yang melihat hantaran sebuah akaun Facebook yang memuat naik video milik pengadu tanpa kebenaran dan pengetahuannya pada pukul 12.30 tengah hari, 30 Julai lalu.
Beliau berkata, suspek secara terang-terangan menyebut nama pengadu di hantaran berkenaan yang berunsur jahat dan mendedahkan pengadu kepada kemudaratan atau ancaman terbuka.
“Kesan hantaran itu menyebabkan komen kecaman dibuat oleh pengguna FB yang lain dan komen negatif sehingga beri tekanan, memudaratkan minda, reputasi serta psikologi pengadu.
“Pengadu berasa terancam dan ketakutan sekiranya perkara buruk berlaku kepadanya. Suspek pernah menjadi pembantu peribadi pengadu sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Azam berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 43 tahun di Pasir Mas, Kelantan pada pukul 11.30 pagi, 8 Ogos lalu.
Jelasnya, turut dirampas, dua telefon bimbit untuk membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
“Semakan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah namun ujian awal saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.
“Suspek direman selama empat hari oleh Majistret Mahkamah Ampang bermula Sabtu lalu sehingga esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.