GLASGOW: Fail rasmi mendedahkan air bercampur bahan radioaktif dari pangkalan penyimpanan bom nuklear Britain di Coulport, Scotland, telah mengalami kebocoran ke laut akibat paip usang yang pecah berulang kali.
Menurut Utusan Malaysia, kebocoran itu berlaku di Depot Persenjataan Coulport di Loch Long, lokasi menyimpan kesemua kepala peledak nuklear milik Tentera Laut Diraja Britain, ekoran kegagalan penyelenggaraan rangkaian 1,500 paip air di kawasan tersebut.
Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Scotland (Sepa), sehingga separuh komponen di pangkalan itu sudah melebihi jangka hayat reka bentuk ketika insiden berlaku.
Kebocoran menyebabkan pelepasan bahan radioaktif tahap rendah jenis tritium, yang digunakan dalam senjata nuklear.
Dokumen yang dikompilasi Sepa termasuk laporan pemeriksaan dan e-mel sulit diperoleh laman penyiasatan The Ferret dan dikongsi bersama The Guardian selepas enam tahun pertarungan undang-undang di bawah Akta Kebebasan Maklumat Scotland.
Kementerian Pertahanan pada awalnya menolak pembongkaran dokumen atas alasan keselamatan negara, namun Pesuruhjaya Maklumat Scotland, David Hamilton, memutuskan kebanyakan fail perlu didedahkan kerana ia lebih berkaitan dengan isu reputasi daripada ancaman keselamatan.
Rekod menunjukkan paip pernah pecah di Coulport pada 2010, diikuti dua lagi insiden pada 2019.
Kebocoran pada Ogos 2019 mengakibatkan banjir di kawasan pemprosesan senjata nuklear sehingga air tercemar dengan tritium mengalir keluar melalui saliran terbuka ke Loch Long.
Walaupun tahap radioaktifnya rendah dan tidak membahayakan kesihatan awam, Sepa menegaskan ia berpunca daripada kelemahan penyelenggaraan dan pengurusan aset.
Susulan siasatan dalaman, Kementerian Pertahanan berjanji melaksanakan 23 langkah pencegahan pada Mac 2020, namun kemajuan kerja didapati lambat dan tertangguh apabila dua lagi paip pecah pada 2021, termasuk di kawasan yang menyimpan bahan radioaktif.
Walaupun pangkalan tentera dikecualikan daripada kawalan pencemaran awam, Sepa menegaskan pihaknya memastikan operasi mematuhi piawaian setara peraturan alam sekitar.
Pihak berkuasa mendakwa sejak insiden itu, pengurusan aset di Coulport dan Faslane telah dipertingkat dan tiada kebocoran berulang.
Jurucakap Kementerian Pertahanan berkata pihaknya mengutamakan pengendalian bahan radioaktif secara selamat dan menegaskan tiada pelepasan tidak selamat berlaku ke alam sekitar pada bila-bila masa.


































