Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan menunggu laporan bedah siasat sebelum menentukan langkah susulan yang wajar diambil bagi memastikan kematian pelajar itu terbela.
Menurut Utusan Malaysia, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri berkata, pihaknya juga akan memohon supaya inkues dijalankan sekiranya keputusan bedah siasat mendapati kecederaan dialami pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama di Papar itu hanya berpunca daripada jatuh tanpa membabitkan kecederaan fizikal lain.
“Jika laporan menunjukkan kecederaan bukan akibat jatuh tetapi disebabkan dipukul, ia mungkin sudah cukup untuk mendakwa mana-mana pihak yang terlibat.
“Namun, jika laporan menyatakan kecederaan berpunca daripada jatuh, kami akan memohon inkues kerana hanya prosiding itu dapat menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Semalam pihak polis melakukan penggalian semula kubur pelajar tersebut di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang ekoran arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Penggalian itu bermula pukul 5 petang dengan dihadiri kira-kira 100 orang termasuk ahli keluarga mangsa dan penduduk tempatan.
Zara Qairina, ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada pukul 4 pagi, 16 Julai lalu.
Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, 17 Julai lalu dan kes kematian pelajar berkenaan tular serta menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di media sosial.
Susulan itu, AGC menerusi satu kenyataan memaklumkan, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
Hamid berkata, inkues adalah prosiding mahkamah bagi mengenal pasti punca kematian, bukannya perbicaraan jenayah yang membolehkan mahkamah meneliti keterangan saksi, bukti perubatan dan keterangan lisan untuk menjawab persoalan punca kematian.
“Dalam inkues, saksi-saksi relevan akan dipanggil dan pelbagai bentuk bukti akan dikemukakan.
“Bukan sahaja kecederaan fizikal, tetapi faktor seperti buli secara lisan yang mendorong seseorang bertindak mengambil nyawa sendiri juga boleh dianggap sebagai unsur jenayah,” katanya.
Peguam itu berkata, pihak keluarga tidak melantik pakar forensik luar sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan forensik Kementerian Kesihatan (KKM) di Sabah kerana yakin dengan kepakaran mereka.
Sementara itu, proses bedah siasat jenazah Zara Qairina yang dilakukan polis adalah bagi mengesan bukti yang dapat dikaitkan dengan punca kematiannya.
Menurut sumber, analisis itu dilakukan bagi memastikan punca kecederaan dan mengenalpasti sekiranya terdapat elemen kemalangan atau jenayah.
“Hasil bedah siasat akan diketahui dalam tempoh tertentu bergantung kepada spesimen yang diperoleh sekiranya ada,” katanya.
























