Perarakan Seni Budaya Kalimaran turut didominasi golongan muda.
KEMABONG: Bertemakan ‘Ahahanggoi Am Sumingkot’, Ilau Kalimaran Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-19 menyerlahkan citra budaya penuh warna warni etnik Murut di Sabah.
Pesta tahunan dengan tema yang bermaksud ‘berganding bahu membangun bersama’ itu berlangsung selama empat hari mulai Rabu lalu di Dataran Daerah Kecil Kemabong.
Malah, kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung secara fizikal tidak termasuk 17,000 dalam talian secara langsung di TV Sabah turut direkodkan dalam beberapa acara antaranya, pameran dan pertandingan kraf tangan, sukan tradisi seperti pertandingan tarik tali, melastik dan menyumpit melibatkan penyertaan dari dalam dan luar daerah.
Turut berlangsung, pertandingan rekaan pakaian tradisi kategori lelaki (Kalawon) dan wanita (Ralaa), pertandingan lagu Lundayeh serta pertandingan Butitin Kalimaran kategori dewasa dan kanak-kanak.

Persembahan tarian dan muzik tradisi semasa Majlis Perasmian
Ilau Kalimaran Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-19.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor itu diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, pada Sabtu.
Hadir mengiringi beliau ialah ADUN Kemabong Datuk Rubin Balang, Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Pembantu Menteri II Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng, Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC), Datuk Jamari Jaafar.
Pada majlis itu, Dr. Joachim menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada tiga individu. Para penerima terdiri daripada pesara Polis, Mendiang Suab Sakai dari Kampung Masanoi, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Allahyarham Ahmad Shukry @ Antikoh Lituan (Kampung Belumbung Seberang) dan pesara guru, Mendiang Angkangon @ Angagon Sagul @ Anbou (Kampung Mamaiton) yang diwakili anak masing-masing.
Sementara itu, Anugerah Keluarga Berpendidikan Tinggi (AKBT) kepada Keluarga OKK Sukimin Rukini dari Kampung Gumisi Laut, AKBT Kategori Anugerah Keluarga Inspirasi (Keluarga Berni Amat) dan AKBT Kategori Anugerah Keluarga Teladan (Keluarga Madan Tambi).
Paling mengujakan, pada acara kemuncak hari ini, 17 kontinjen dengan jumlah melebihi 700 orang memperagakan keindahan budaya, pakaian tradisi, seni tari dan sebagainya dalam Perarakan Seni Budaya Kalimaran.
Perarakan itu diungguli kontinjen Gabungan Kemabong Seberang sebagai juara manakala kontinjen Kg. Tilis/ Kungkular dan kontinjen Persatuan Seni Budaya Tenom Batu Tinikang masing-masing meraih naib juara dan tempat ketiga.
Menurut Dr. Joachim, Pesta Kalimaran merupakan usaha kerajaan yang signifikan untuk mengangkat martabat seni dan warisan etnik Murut termasuk sub etniknya seperti Murut Tahol, Murut Timugon, Murut Bookan, Lundayeh dan sebagainya ke peringkat global.






























