TUARAN: Tuaran kembali merampas gelaran Ratu Serimpak selepas dimenangi oleh wakil Lahad Datu tahun lepas menerusi gadis Bajau, Aiman Atirah Zaidin.
Aiman Atirah, 19, yang kini sedang mengikuti pengajian di peringkat Diploma In Airline Cabin Crew Management North Borneo College dinobatkan sebagai Juara Ratu Serimpak 2025 sempena Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2025.
Naib johan diraih wakil Sandakan, Isnia Elyanie Ag. Azliee, 21, yang kini berkhidmat di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Tempasuk dan merupakan duta tudung berjenama.
Manakala, tempat ketiga ialah wakil dari Kota Kinabalu, Baslizatun Asaniah Alli, 25, merupakan penjawat awam kerajaan negeri.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin diiringi Isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Juliah Salag di Pentas Utama Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Kg. Lok Batik dekat sini, pada Ahad.
Sementara itu, lima finalis lain terdiri daripada Sharifah Nur Aina’ Mohammadin (Papar), Arina Arisha Jafri (Kota Belud), Amirah Zarifah Azman (Kuala Penyu), Norhamizah Ibrahim (Universiti Malaysia Sabah) dan Nurafizah Abdullah (Keningau).






























