Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA : Proses bedah siasat kebiasaannya tidak mengambil masa yang lama sebaliknya boleh diselesaikan dalam tempoh sehari.
Menurut Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Jabatan Patologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr. Faridah Mohd. Noor berkata, berkata, proses itu melibatkan pemeriksaan di dalam dan luar seorang yang dibedah siasat.
“Pemeriksaan lanjut tisu juga dibuat bagi tujuan ujian kimia dan toksikologi.
“Selain itu, pemeriksaan X-ray dan imbasan tomografi berkomputer (CT scan) juga perlu diambil sekiranya hospital melakukan proses bedah siasat mempunyai fasiliti tersebut,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Terdahulu, proses menggali kubur Zara Qairina dijalankan di Tanah Perkuburan Tanjung Hubi di Mesapol, Sipitang semalam setelah permohonan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.
Kelmarin, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula kubur Allahyarham yang dikebumikan selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama.
Menurut AGC, tindakan itu antara beberapa arahan yang dikeluarkan pihaknya untuk siasatan secara menyeluruh dilakukan bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah itu.
Dalam pada itu, peguam keluarga Zara Qairina menunggu laporan bedah siasat sebelum menentukan langkah susulan yang wajar diambil bagi memastikan kematian pelajar itu terbela.
Sementara itu, pemeriksaan di laman web rasmi Hospital Sungai Buloh dalam soalan di ruangan Jabatan Forensik mendapati, pegawai perubatan di Jabatan Perubatan Forensik hanya boleh menjalankan pemeriksaan bedah siasat selepas mendapat arahan daripada pihak polis melalui Surat Polis 61.
Menerusi jawapan kepada soalan pengguna laman web berkenaan, kebiasaannya proses bedah siasat mengambil masa selama dua hingga tiga jam namun bagi kes yang lebih rumit, jangka masa bedah siasat boleh melebihi tiga jam.
“Namun jangka masa yang diperlukan untuk mendapatkan keputusan ujian analisis kandungan alkohol dalam cecair badan adalah tujuh hari.
“Waris dan ahli keluarga si mati tidak dibenarkan melihat proses bedah siasat dilakukan. Walau bagaimanapun, setelah proses tersebut selesai, pihak waris dan ahli keluarga yang lain boleh melihat mayat dan menguruskannya bagi proses pengebumian,” kata laman web berkenaan.






























