KOTA BHARU: Tindakan sepasang suami isteri warganegara Thailand menyimpan sepucuk pistol bersama 30 butir peluru membawa padah apabila ditahan dalam serbuan di Pengkalan Kubor, Tumpat pada 25 Julai lalu.
Menurut Utusan Malaysia, kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada pukul 7.45 pagi.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, semasa ditahan suspek mendakwa senjata api terbabit digunakan bagi tujuan mempertahan diri.
“Kedua-dua mereka mempunyai pasport Thailand namun masuk ke negara ini secara haram.
“Pasangan suami isteri itu disiasat di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, saringan air kencing mendapati pasangan itu negatif dadah.






























