NEW YORK: Pembuat ChatGPT, Open AI, memperkenalkan versi terbaharu chatbot kecerdasan buatan (AI), GPT-5, yang mendakwa mampu memberikan kepakaran setaraf peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Digambarkan ‘lebih pintar, pantas dan berguna’, dengan pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, memuji model baharu itu syarikat itu sebagai pembuka era baharu ChatGPT.
“Saya rasa memiliki sesuatu seperti GPT-5 adalah sesuatu yang hampir tidak dapat dibayangkan sebelum ini dalam sejarah manusia,” katanya menjelang pelancaran pada Khamis lalu.
Menurut Utusan Malaysia, GPT-5 dilaporkan memiliki keupayaan tinggi dalam pengekodan dan penulisan, sekali gus menandakan langkah baharu dalam persaingan sengit syarikat teknologi untuk menghasilkan chatbot AI paling canggih.
Jutawan terkenal, Elon Musk, baru-baru ini membuat dakwaan sama mengenai chatbot AI miliknya, Grok, yang disambungkan ke platform X.
Ketika pelancaran versi terbaharu Grok bulan lalu, Musk mendakwa ia lebih hebat daripada tahap PhD dalam semua bidang dan menggelarnya sebagai ‘AI paling pintar di dunia’.
Altman berkata, model baharu syarikatnya akan mengalami sedikit masalah ‘halusinasi’, fenomena di mana model bahasa mereka-reka jawapan, serta kurang bersifat mengelirukan.
OpenAI turut memasarkan GPT-5 kepada pengatur cara sebagai pembantu mahir, selaras dengan trend dalam kalangan pembangun AI utama Amerika, termasuk Anthropic yang menawarkan Claude Code untuk pasaran sama.
OpenAI menekankan keupayaan GPT-5 untuk membangunkan perisian secara keseluruhan serta mempamerkan keupayaan penaakulan lebih baik, dengan jawapan disertakan cara kerja, logik dan inferens.
Syarikat itu mendakwa, GPT-5 dilatih untuk lebih jujur, memberikan respons yang tepat dan secara keseluruhan ke arah lebih ‘manusia’.
 
























