Seekor tikus memerlukan kira-kira 28 gram makanan sehari untuk meneruskan kehidupan dalam jangka hayat kurang daripada setahun.
NEW YORK: Pihak berkuasa New York melancarkan usaha besar-besaran untuk memerangi tikus yang memenuhi jalan dan sistem kereta api bawah tanah, sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk.
Menurut Utusan Malaysia, selain langkah meracun lubang persembunyian, pihak berkuasa mula menggunakan alat pemetaan berteknologi tinggi bagi mensterilkan populasi tersebut, termasuk mendidik orang awam mengenai kepentingan mengurus sisa makanan yang menjadi sumber utama haiwan perosak itu.
Pengarah Perkhidmatan Kawalan Perosak Jabatan Kesihatan Bandar New York, Caroline Bragdon berkata, kekurangan makanan boleh menyebabkan tikus dan haiwan perosak lain berasa ‘tertekan’.
“Mungkin ini memaksa mereka pergi lebih jauh untuk mencari makanan, atau mungkin boleh mengurangkan pembiakannya,” katanya.
Bandar itu sedang menguji pelbagai alat di kawasan Harlem, dengan tujuan mencari produk serta kaedah baharu untuk menangani masalah tikus.
Bagi bandar besar dan padat seperti New York, dengan 8.5 juta penduduk, sumber makanan untuk tikus sangat banyak, sama ada di kaki lima, dalam tong sampah atau di taman.
Bragdon berkata, tikus yang bertahan dengan diet hampir sama seperti manusia, boleh berkembang biak walaupun dengan makanan yang dibuang sebagai sampah.
Seekor tikus memerlukan kira-kira 28 gram makanan sehari untuk meneruskan kehidupannya, dan boleh mempunyai sehingga 12 anak setiap kali membiak.
Dalam jangka hayatnya kurang daripada setahun, haiwan tersebut boleh beranak antara lima hingga tujuh kali.
Pada Oktober 2022, Bandaraya New York mengumumkan ‘revolusi sampah’ yang bertujuan memasang bekas kedap udara bagi membolehkan pengumpulan beg hitam sisa organik dari kali lima selepas populasi tikus meningkat semasa pandemik Covid-19.
Sebelum pandemik, populasi haiwan tersebut berkurang sehingga 90 peratus di beberapa kawasan.






























