KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur mencatatkan jumlah sitaan tertinggi kenderaan mewah yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurut Utusan Malaysia, kesemua kenderaan berkenaan telah disita menerusi Op Luxury yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 1 Julai lalu kerana melakukan pelbagai kesalahan.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, siri terbaharu operasi dari 7 hingga 9 Ogos lalu sahaja menyaksikan 104 kenderaan ditahan, melibatkan pemilik warga tempatan dan warga asing.
“Sebanyak 258 buah kenderaan pelbagai jenama yang disita iaitu sebanyak 93 buah daripadanya di Kuala Lumpur, diikuti Selangor (61), Pulau Pinang (28), Sarawak (16) dan Kelantan (15).
“Antara kesalahan dikesan termasuk tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans, lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen sah, mempamerkan nombor pendaftaran belum berdaftar serta pelbagai kesalahan teknikal lain,” katanya dalam sidang akhbar di Depoh Sita JPJ Kuala Lumpur di sini.
Katanya, sepanjang tempoh sejak 1 Julai lalu, sebanyak 627 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Semua kenderaan disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan berkaitan sebelum diserahkan semula kepada pemilik selepas mereka memperbaharui LKM dan insurans.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.
Menurutnya, operasi ini akan terus diperkukuhkan bagi menjamin keselamatan dan kemampanan sektor pengangkutan negara.
“Mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan di bawah Akta 333 dan kaedah-kaedah berkaitan akan dikenakan tindakan tegas.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai pelanggaran undang-undang boleh melaporkan aduan melalui aplikasi MyJPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.mybeserta butiran lengkap,” katanya.


































