Rakaman keterangan dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kelmarin.
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat penyebaran kandungan di media sosial berkaitan kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Kandungan tersebut dipercayai mengandungi maklumat palsu serta unsur 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja) yang dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam selain menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.
Bagi membantu siasatan, individu terbabit telah dipanggil untuk sesi rakaman keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 9 Ogos 2025. Satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM telah disita sebagai bahan bukti.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
MCMC mengingatkan orang ramai agar memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang berjalan serta berhati-hati dengan kandungan berbentuk spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.
Penyebaran maklumat yang belum disahkan bukan sahaja berisiko mengguris hati keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika dan boleh menjejaskan proses keadilan.






























