Suasana ketika majlis berlangsung.
KENINGAU: Daerah Keningau mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi destinasi pelancongan massa dari pelancong dalam negeri mahupun luar Sabah.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, terdapat beberapa lokasi di daerah ini sering menjadi tumpuan antaranya Taman Rekreasi Banjaran Croker, Bukit Matanoi dan Muzium Warisan Keningau.
“Tarikan-tarikan ikonik baharu yang berimpak tinggi perlu dirancang dan dilaksanakan termasuklah pembinaan pusat-pusat peranginan yang berprestij yang menarik para pelancong dalam dan luar negeri dalam kategori high-end berkunjung ke sini.
‘Projek ikonik pelancongan ini akan dapat melonjakkan persekitaran yang kondusif bagi sektor pelancongan dan kelestarian destinasi serta meningkatkan pemasaran produk-produk tempatan dan menjadi salah satu fokus utama inisiatif yang terkandung dalam Pelan Sabah Maju Jaya.
“Had tampung (carrying capacity) setiap satu destinasi pelancongan perlu diperkenalkan dan dipertahankan untuk memastikan agar tarikan-tarikan unik dan unggul itu akan terus terpelihara serta boleh dilawati dalam keadaan baik bukan sahaja oleh para pelancong sekarang tetapi pelancong-pelancong pada masa hadapan.
“Saya juga optimis sektor pelancongan di daerah Keningau akan menjadi rancak sekiranya rakyat menyambut baik perancangan dan strategi yang sediakan oleh pihak kerajaan,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) peringkat Daerah Keningau di Padang Murut Naabai Kampung Masak, Keningau.
Selain itu, beliau mengalu-alukan kedatangan dan berbangga kerana konvoi memilih Kampung Masak ini sebagai salah satu lokasi perhentian dalam menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
“Kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam pasukan konvoi KMJG yang diketuai oleh Jabatan Penerangan Sabah adalah demi mencapai satu objektif yakni mengajak orang ramai untuk sama-sama terlibat dalam menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan.
“Saya ingin menyeru kepada setiap individu, keluarga, komuniti, bangunan kerajaan, agensi swasta dan GLC di seluruh negeri ini khususnya daerah ini untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan hormat mengikut tatacara yang betul,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan menghormati bendera negara adalah cerminan cinta dan kebanggan kita terhadap negara dan negeri serta komitmen sebagai rakyat untuk menjaga maruah dan kedaulatannya.
Dalam majlis itu juga, turut diadakan kenduri rakyat yang disertai lebih 500 orang kampung dan komuniti-komuniti yang berhampiran dengan Kampung Masak.






























