GUIZHOU: Projek pembinaan Lebuhraya Lu’an di wilayah pergunungan Guizhou, China mencetuskan perdebatan hangat selepas pendedahan jurutera memilih untuk memotong puncak gunung bagi membina laluan tersebut, berbanding mengorek terowong atau membina jalan mengelilingi kawasan berbukit.
Menurut Utusan Malaysia, lebuhraya berkenaan menghubungkan ke Jambatan Grand Canyon Huajiang yang bakal dinobatkan sebagai jambatan tertinggi dunia dengan ketinggian 625 meter merentasi Lembah Sungai Beipan dan kini menjadi tumpuan di media sosial selepas rakaman video pembinaannya tular.
Guizhou yang 92 peratus terdiri daripada kawasan gunung-ganang dan tebing curam sememangnya mencabar untuk pembinaan infrastruktur.
Pihak perancang mendakwa pemotongan puncak gunung adalah pilihan terbaik bagi mempercepatkan pembinaan, namun aktivis alam sekitar mengkritik kesan negatifnya terhadap ekosistem tempatan.
Pengguna media sosial, termasuk di platform Reddit, berbelah bahagi antara mengagumi kecekapan kejuruteraan China dan menganggap kaedah tersebut sebagai langkah ekstrem yang mencacatkan landskap semula jadi.
Projek Lebuhraya Lu’an ini turut dibandingkan dengan beberapa infrastruktur ikonik China lain seperti Lebuhraya Sungai serta jambatan gantung yang digelar ‘paling menakutkan di dunia’.




























